Lamunan Terhenti
>> Khamis, 10 April 2008
Baru sebentar tadi laungan azan sholat Jumaat berkumandang ke udara. Aku hanya dapat mendengar dengan perasaan pilu. Sudah lima tahun aku tidak berupaya ke masjid bersholat Jumaat. Kadang-kadang perasaan kecilku terasa ingin meronta-ronta minta dibebasan, terlalu awal rasanya jasadku terpenjara. Orang sibuk bersiap-siap untuk ke masjid aku pula terbaring kaku menunggu tamatnya sessi rawatan harianku iaitu‘ngereng’. Terkenang aku semasa sehat dahulu waktu-waktu begini aku bergegas ke masjid. Walaupun masjid Bukit Damansara berdekatan pejabatku tetapi Masjid Negara menjadi pilihanku. Masjid yang penuh dengan nostalgia buat diriku.
“Ain sudah pukul 4.00 petang, abang sudah enam jam mengngereng , tidak tahan lagi sakitnya bahu ini,” sambil meminta isteriku melentangkan badanku.
Seperti biasa isteriku memusingkan kedudukan badanku sambil membetulkan cadar dan kain yang menutup tubuhku.
“Bolehkah apa sholat hari ini,” tanyaku pada isteriku.
“Macamana hendak sholat, kencing baru hendak elok sudah tersumbat kembali.”
“Luka ini pun sudah kembali hitam, kena panggil doktor pereksa semula,”kata isteriku.
“Penat dan sia-sia sahaja abang menggereng selama tiga bulan, dagingnya rosak kembali,”kataku dengan nada hampa.
“Ain pun penat merawatnya bang, kali ini biar Ain saja yang menggunting dan membuang daging yang rosak itu.”
“Uik jangan buat pasal nanti lain jadinya,”kataku padanya.
Inilah kesannya bilamana aku duduk dalam tempoh yang terlalu lama mahupun di katil atau pun di atas kerusi roda. Di majlis perkahwinan yang baru berlangsung minggu lepas, aku paksakan diriku untuk duduk bersama dengan tetamu-tetamu yang hadir. Memang telah di jangka kesan ini akan berlaku.
Kembali kepada cerita masjid, selain dari Masjid Negara aku punya banyak kenangan di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur. Diantara masjid yang menyimpan memoriku ialah Masjid Kg. Baru dan Masjid Jamek yang terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur.
Masjid Negara memang menjadi pilihanku setiap kali bersholat Jumaat. Di sebelah belakang kawasan di luar masjid terdapat deretan gerai-gerai menjual makanan setiap hari Jumaat untuk para jemaah. Aku gemar menjamu selera dan mata di sini sebelum tiba masuk waktu sholat Jumaat. Berbagai-bagai barang-barang terdapat di sini, daripada pakaian, aksoseri telefon bimbit, ubat-ubatan dan lain-lain lagi. Antara barang-barang yang sempatku beli di sini dahulu ialah jeket kulit untuk tujuan menunggang motorsikal, teropong besar untuk aku bawa ke ‘reformasi’, kain tudung untuk isteriku dan alat-alat silap mata untuk aku pertontonkan kepada staff-staffku (di lain kesempatan akan aku ceritakan). Sambil menyelam sambil minum air, itulah aku.
Di Masjid Negara ini juga semangat ‘reformasiku’ bermula dan bersemai. Di sini juga perhimpunan gerakan reformasi besar-besaran bermula. Di sini aku menyaksikan dan merasai kepedihan gas pemedih mata yang di tujukan dan disasarkan kepada kami yang berhimpun di dalam kawasan masjid. Di sini juga aku berlari di dalam masjid tanpa menanggalkan kasut apabila di kejar dan di hambat oleh pehak polis dan FRU dan di sini juga aku bersama reformis yang lain bersholat hajat di imamkan untuk kebebasan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Kini semua tinggal kenang-kenangan buatku. Aku kini tidak sekuat dan tidak sehebat dahulu lagi yang boleh berlari ke sana dan ke sini, kini aku tersungkur layu menanti waktu.
Masjid Jamek yang terletak diantara dua batang sungai
Masjid Jamek yang terletak di tengah kota tersergam indah terbina diantara dua batang sungai, Sungai Gombak dan Sungai Klang. Masih aku ingat lagi pada 17 April 1999, tiga hari selepas DSAI dijatuhkan hukuman penjara enam tahun, aku bersama ratusan reformis dan pelajar-pelajar IPTA berkumpul dan besholat Asar di sini sebelum memulakan demontrasi di sekitar jalan di Kuala Lumpur.
Sebaik sahaja imam habis memberi salam kami dikejutkan dengan pembesar suara oleh pehak polis. Kami di minta agar menggosongkan kawasan masjid dengan segera. Di kiri dan kanan sungai, hanya satu laluan yang ada iatiu pintu besar hadapan yang telah siap sedia menunggu anggota polis dan FRU. Aku melihat ada di antara kami yang cuba berlari dan menyorok di dalam tandas dan ada yang memanjat kubah menyorok di atasnya….sungguh gawat ketika itu.
Aku perhatikan dari dalam masjid, seorang demi seorang jemaah dipereksa ketika keluar dari pintu tersebut. Ada yang dilepaskan dan ramai juga yang terkantoi. Dua buah trak polis bersedia menunggu menggangkut mereka yang terkantoi.
Amaran terakhir dikeluarkan agar semua jemaah yang di dalam masjid keluar. Aku tiada pilihan lain dan terpaksa keluar, di dalam hati kecil berkata “ Habislah aku kali ini, tertangkap”.
Sedang aku berjalan keluar aku ternampak pasangan suami isteri bersama-sama tiga orang anak-anak mereka sedang bersiap untuk keluar dari masjid. Aku meminta izin dari ayahnya untuk memimpin salah seorang anaknya, seolah-olah aku adalah ahli keluarganya. Aku bernasib baik kerana pasangan suami tersebut agak memahami situasiku. Sesampai di pintu, aku di pandang dari atas dan bawah oleh polis tersebut. Aku dilepaskan kerana pada sangkaan mereka aku berkeluarga dan tidak terlibat dalam demontasi yang bakal di adakan.
Aku tersenyum lega kerana berjaya melepasi sekatan polis. Sebagai menghargai pasangan suami isteri tersebut aku menghadiahkan topi yang baruku beli dan pakai hari itu. Peribahasa ada mengatakan ‘Pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke bumi juga’. Tetapi hari itu peribahasa ini tidak menjadi dan tidak terbias pada diriku. Aku bukan tupai yang tewas jatuh ke bumi tetapi masih 'Sang Kancil' yang penuh dengan tipu helah. Ramai rakan-rakanku yang tertangkap dan menaiki trak dengan ‘percuma’ petang itu...hehehe.
Tentang Masjid Kg. Baru, telah aku ceritakan serba sedikit pada coretanku yang lalu bertarikh 10 Oktober ‘Kenangan Lalu’. Banyak peristiwa manis yang aku lalui di sini. Selain terkenal dengan kehebatan ‘bubur lambuknya’, di masjid ini juga terpahat kenangan pahit manis di zaman kegawatan politik. Di sini boleh di katakan kubu kuat gerakan reformasi. Setiap petang Sabtu ‘tanpa gagal’ aku pasti ke sini bersama-sama menyemarakan api reformasi. Di sinilah ‘laungan Reformasi’ sering kedengaran dan di masjid inilah teriakan dan laungan ‘Takbir’ bergema setiap kali demontrasi di adakan. Kini semuanya tinggal kenangan, Masjid Kg. Baru tersergam indah sedangkan aku semakin lesu di tasik madu.
Jauh sungguh lamunanku petang ini, bermula dari sholat Jumaat melalut-lalut hingga ke zaman reformasi. Biarlah ‘lamunanku terhenti’di sini.
0 ulasan:
Catat Ulasan